Wednesday, August 22, 2007

Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi

Yang Amat Berhormat Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi (lahir: 26 November 1939; juga dikenali sebagai Pak Lah) merupakan Perdana Menteri Malaysia ke-5, mewarisi Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Beliau juga merupakan Presiden UMNO, parti politik yang paling besar dalam Malaysia. Sebelum menjadi Perdana Menteri, beliau dilantik pada beberapa jawatan tinggi dalam kerajaan Malaysia. Namun, beliau dipecat sebagai Menteri kerana menyokong 'Team B' dalam Majlis Agung UMNO pada tahun 1987. Beliau tidak menjadi anggota kabinet lagi sehingga 1991. Anwar Ibrahim, yang pada masa itu Timbalan Perdana Menteri, dipecat oleh Tun Dr. Mahathir pada tahun 1998. Pada tahun 1999 Abdullah dilantik sebagai Timbalan kepada Tun Dr. Mahathir, dan pada tahun 2003, Abdullah akhirnya mewarisi jawatan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Presiden UMNO.

Kehidupan Peribadi

Dilahirkan dalam keluarga yang warak di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang, beliau menerima pendidikan menengah di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam dan di Penang Methodist Boys School, Pulau Pinang. Abdullah memulakan kerjayanya sebagai guru. Selepas menerima Sarjana Muda Sastera dalam bidang Pengajian Islam daripada Universiti Malaya pada tahun 1964, beliau menyertai sektor perkhidmatan awam sebagai Penolong Setiausaha di Jabatan Perkhidmatan Awam. Pada tahun 1969, Abdullah berpindah ke Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), sebuah badan yang berkuasa eksekutif untuk mentadbir negara yang ditubuhkan selepas rusuhan kaum pada Mei 1969. Abdullah kemudiannya dinaikkan pangkat menjadi Ketua Pengarah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, sebelum menjadi Timbalan Ketua Setiausaha dalam kementerian yang sama pada tahun 1974.
Abdullah berkahwin dengan Allahyarhamah Datin Seri Endon binti Dato' Mahmood pada tahun 1965 dan dikurniakan dua orang cahayamata dan empat cucu. Pada 20 Oktober 2005, Endon Mahmood meninggal dunia selepas bergelut dengan penyakit barah payu dara sejak 2003.
Setelah hampir 2 tahun menduda, beliau telah terbuka hatinya untuk menerima Jeanne Abdullah sebagai isteri beliau apabila melangsungkan akad nikah pada 9 Jun 2007.

No comments: